Pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesemua calon yang diumumkan itu mendapat kepercayaan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diletakkan sebagai calon dan pihaknya yakin mampu meraih sokongan daripada masyarakat setempat serta jentera parti.

“BN Melaka meletakkan sasaran untuk mencapai kemenangan dua pertiga pada PRU-14 kali ini dan untuk itu saya berharap kesemua calon yang dipilih dapat memainkan peranan membantu parti memastikan kemenangan itu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri itu berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan senarai calon BN negeri Melaka peringkat Parlimen dan DUN yang akan bertanding di Dewan Seri Bendahara di sini sebentar tadi.

Antara calon baharu yang disenaraikan ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Senator Datuk Zali Mat Yasin yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Wong Nai Chee bagi Parlimen Alor Gajah.

Sementara itu, beberapa nama pemimpin negeri ini digugurkan iaitu penyandang kerusi DUN Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd. Din dan penyandang kerusi DUN Ayer Molek, Datuk Seri Md. Yunos Husin. - UTUSAN ONLINE