Shamrahayu Abd. Aziz

Pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan tersebut, Anwar terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara walaupun Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan.

“Mengikut Perkara 48, seseorang akan hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya umum sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan.

“Individu tersebut hanya boleh melibatkan diri dalam politik selepas lima tahun dibebaskan namun mereka boleh memohon pembatalan kehilangan ke­layakan bertanding da­ripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar memberitahu, Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun ini berasaskan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Pakatan Harapan sebelum ini turut menyatakan keinginan mereka untuk membantu Anwar mendapatkan pembatalan kehilangan kelayakan bertanding daripada Yang di-Pertua Agong bagi membolehkan Anwar melibatkan diri dalam politik selepas dibebaskan.

Shamrahayu menjelaskan, wa­­laupun Per­kara 48 membolehkan seseorang individu yang hilang kelayakan ber­tanding mendapat pembatalan, namun Yang di-Pertuan Agong juga berhak menolak permohonan tersebut berdasarkan sebab-se­bab tertentu.

“Tiada syarat khusus untuk membo­­­­l­ehkan permohonan itu diterima. Ia tidak dinyatakan dalam undang-undang namun perlu ingat, pembatalan itu bukan sesuatu yang mudah.

“Yang di-Pertuan Agong perlu bijaksana untuk membuat keputusan kerana permohonan itu akan menentukan masa depan negara khususnya jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum,” katanya.

Tambahnya lagi, penilaian perlu dilakukan kerana keputusan itu adalah sesuatu yang besar terma­suk adakah seseorang yang berlatar belakang jenayah berat dan telah disahkan bersalah boleh terlibat dalam politik tanah air.