Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana ahli parti komponen akan turut melakukan perkara sama dalam memastikan kemenangan berpihak kepada BN. 

Beliau tidak mahu sentimen dalam PRU-10 berulang apabila UMNO kehilangan undi Melayu selepas hilang kepercayaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad namun berjaya memenangi pilihan raya itu berbekalkan undi kaum lain.

“Kita kena ingat pada satu ketika dahulu, parti komponen yang banyak memberi kekuatan kepada BN. Jadi, inilah masa kita pertahankan dengan memberikan sokongan kepada mereka.

“Apa yang penting setiap kawasan ini, satu kerusi adalah penting untuk mengukuhkan BN secara keseluruhan,” katanya ditemui pemberita selepas me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ayer Hitam di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Menteri di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali. 

Ahmad Shabery berkata, ahli UMNO perlu sedar calon PRU-14 datangnya daripada pelbagai parti komponen BN yang memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi ahli di peringkat akar umbi. 

“Calon yang bertanding bukan daripada UMNO sahaja malah ada calon parti komponen lain. Sekiranya orang Melayu hanya mengundi calon Melayu, ini akan menyebabkan calon parti komponen akan berdepan masalah,” katanya.