Datuk Joseph Entulu Belaun
Datuk Joseph Entulu Belaun

Malah, sebelum tercetus pergeseran dengan Joseph Entulu yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Selangau dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, James Masing juga pernah berkonflik dengan

seorang lagi bekas Timbalan Presidennya, Datuk Sng Chee Hua yang kemudian dipecat daripada PRS pada 2007.

PRS yang ditubuhkan pada 2004 selepas krisis kepimpinan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang mengakibatkan pembatalan pendaftaran PBDS oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Disember 2003.

Pada 2 Disember 2006, setelah disahkan semula oleh ROS, James masing menang tanpa bertanding sebagai Presiden PRS pada persidangan Perwakilan Tri-Tahunan di Miri,tetapi dipulau oleh kumpulan penyokong Chee Hua.

Ketika penubuhan PRS, Joseph Entulu berupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan mempunyai hubungan dekat dengan Putrajaya yang membolehkan PRS mendaftar sebagai parti yang sah dengan laluan lebih mudah.

Kekuatan PRS terletak kepada perpaduan politik dipegang secara utuh yang menyaksikan wakil parti ini menang di kesemua enam kerusi Parlimen ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Namun, entah di mana silapnya, parti yang utuh ini akhirnya `retak’ semula semalam, selepas Jawatankuasa Khas dipengerusi oleh James Masing mengumumkan pemecatan Joseph Entulu bersama Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyallau Badak dan tiga ahli Majlis Tertinggi (MT) iaitu Nyempah Sabot, Edwerd Kurik dan Adriana Chumang.

Dalam sidang akhbar tergembar diadakan pada pukul 8.30 malam di Ibu Pejabat PRS di Kuching, James Masing memberi alasan pemecatan tersebut dibuat, ekoran keingkaran mereka terhadap keputusan parti, selain telah mengganggu kesatuan parti.

Berita pemecatan dua penyandang kerusi Parlimen yang sebelum ini disebut-sebut bakal dicalonkan semula yang dibuat selang sehari sebelum calon BN Sarawak PRU-14 diumumkan, memang mengejutkan tetapi Ketua Menteri selaku Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tetap meminta semua pihak agar menghormati keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Khas PRS itu.

Beliau turut menyerahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung masa depan dua penyandang kerusi Parlimen yang dipecat itu sama ada kembali dicalonkan pada PRU-14.

Datuk William Nyallau Badak
Datuk William Nyallau Badak

Benarkah Joseph Entulu dan William Nyallau memang sudah tidak layak lagi untuk dipilih semula menjadi wakil rakyat kerana jarang turun padang bertemu masyarakat diwakili sehingga tidak lagi disukai oleh pengundi seperti `khabar angin’ yang bertiup kencang ketika ini?.

Atau adakah, James Masing takut kedudukannya sebagai Presiden terancam gara-gara ramai yang percaya sekiranya jawatan tertinggi itu dipertandingkan, maka Joseph Entulu akan bertanding dan kemungkinan besar boleh menang disebabkan ahli MT dalam PRS pada tahun lalu secara majoriti dimenangi oleh orang kepercayaan Joseph Entulu, sekali gus menjadikan beliau dilihat sangat kuat daripada segi politik parti?.

Segala jawapan kepada persoalan itu ada pada dua pemimpin berkenaan, namun James Masing apabila ditanya enggan berterus-terang, manakala

Joseph Entulu masih berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga kini.

Usaha penulis menghubungi Joseph Entulu bagi mendapatkan penjelasan juga gagal kerana beliau hanya berdiam diri apabila dapat dihubungi melalui aplikasi video Whatsapp, manakala William Nyallau memaklumkan beliau tiada sebarang komen untuk pihak media.