Menurut Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan portal South China Morning Post, langkah itu bagi memastikan agar penghakiman kes tersebut berdasarkan penilaian terhadap fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah dan bukannya dipe­ngaruhi oleh sebarang sentimen.

“Semua tahu isu 1MDB merupakan skandal yang amat besar dan apabila kita membawa kes ke mahkamah, kita perlu kemukakan bukti yang tidak boleh disangkal nanti.

“Jadi, ketika ini, pihak pendakwa raya sedang mengumpul bukti berkaitan supaya barisan hakim yang meneliti kes itu bukan bersandarkan kepada sentimen tetapi fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

“Sebab itu, kami mengambil sedikit masa berbanding jangkaan sebelum ini,” lapor portal itu yang menyiarkan artikel temubual itu hari ini.

Dalam pada itu, ketika di­tanya mengenai hala tuju Pakatan Harapan tanpa beliau, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak akan menjadi popular selama-lamanya.

“Saya tidak menjadi akan popular selama-lamanya. Satu hari, saya akan jadi tidak popular kerana apabila kita berada dalam kerajaan, anda perlu laksanakan perkara tidak popular, justeru ia bukan sesuatu yang bersifat tetap.

“Cuma pada ketika ini, rakyat gembira dan merasakan kehidupan mereka lebih baik semasa saya menjadi Perdana Menteri pertama kali berbanding dengan era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.