Timbalan Pengarah (Operasi) Pejabat Pilihan Raya negeri, Mohd. Zukri Sidek berkata, calon perlu membawa seorang pencadang dan penyokong pada hari penamaan calon bersama dengan borang yang lengkap diisi serta deposit.

“Kita harap calon dapat datang awal untuk memudahkan proses pendaftaran. Selain itu, borang penamaan calon boleh dibeli mulai sekarang di Pejabat Pilihan Raya negeri di Wisma Persekutuan di sini ataupun pejabat Pengurus Pilihan Raya di Rompin.

“Calon juga boleh membeli borang ketika hari penamaan calon iaitu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Rompin kosong berikutan penyandangnya, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis maut dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandangnya sejak 23 tahun lalu selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Menurut Mohd. Zukri, seta­kat hari ini, hanya satu borang pe­namaan calon telah dibeli di Pejabat Pilihan Raya negeri ma­nakala daftar pemilih baharu bagi Parlimen Rompin akan dike­luarkan Isnin ini.

Mengulas lanjut katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka pusat operasi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah mulai esok.

“Seramai 38 pegawai SPR dari negeri ini akan terlibat sepanjang PRK itu berlangsung. Selain itu, kita turut meminta bantuan dari ibu pejabat untuk menambah pegawai yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah pengundi yang akan keluar mengundi dijangka tidak akan terjejas walaupun hari pengundian dilakukan ada hari biasa.

“Hari mengundi tidak ada kena mengena dengan orang yang akan keluar mengundi. Kita juga menjangkakan proses pengundian akan ditutup pukul 5 petang,” katanya.