Demikian luahan Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berhubung tindakan pemimpin UMNO negeri yang bertindak keluar parti secara beramai-ramai pada Rabu lalu, termasuk bekas Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Mohd. Noor.

Tindakan mereka itu, kata Ghazalie sebaliknya membawa hikmah kepada proses ‘pembersihan’ parti secara dalaman.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tawau ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI menegaskan UMNO Sabah tetap kukuh selain menzahirkan rasa syukur selepas pemimpin yang meninggalkan parti kebanyakannya adalah bersifat ‘warlords’ dan terlalu lama memegang jawatan dalam parti.

UTUSAN: Berdasarkan keadaan semasa, apakah situasi dan kedudukan UMNO di negeri Sabah buat masa ini?

GHAZALIE: UMNO Sabah masih kukuh dan kami berasa bersyukur pemimpin-pemimpin yang meninggalkan parti kebanyakannya adalah warlords yang sudah terlalu lama memegang kepimpinan di peringkat bahagian.

Hikmah daripada apa yang berlaku ini adalah proses ‘pembersihan’ parti secara dalaman khusus­nya di negeri ini yang didambakan oleh akar umbi selama ini.

Hari ini lebih ramai belia dan profesional yang mahu bersama kami kerana melihat UMNO Sabah sudah bebas daripada warlords yang memegang kepimpinan selama ini.

Difahamkan ada pertemuan dengan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini, apakah yang disuarakan Pergerakan Pemuda Sabah untuk perhatian UMNO Pusat?

Pertama, hentikan sebarang rundingan kerjasama sama ada di pihak Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad mahupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana run­dingan-rundingan yang ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu itu adalah untuk memecahbelahkan kesatuan dalam UMNO.

Kedua, UMNO Sabah perlu kekal dengan imejnya agar perjuangannya selari dengan tuntutan dan landskap politik di ne­geri ini yang berbeza berbanding di Semenanjung. UMNO Sabah perlu kekal sebagai parti yang sederhana, moden dan tidak ekstrim kerana ahlinya berbilang kaum dan agama.

Ketiga, kami percaya bahawa strategi penjenamaan semula UMNO Sabah adalah satu tuntutan keutamaan dan bukan sekadar pilihan dalam memastikan UMNO terus relevan di Sabah. UMNO Sabah perlu jelas dan komited untuk memperjuangkan hak-hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, UMNO di peringkat pusat perlu meminda Perlembagaan dengan segera khusus untuk memberikan status autonomi kepada UMNO Sabah dan diiktiraf dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana status dan kedudukan khas Sabah dalam Persekutuan Malaysia yang mempunyai autonomi dalam perkara-perkara tertentu.

Apakah kaedah dan usaha UMNO Pusat untuk memulihkan ke­tegangan yang berlaku dalam kepemimpinan UMNO Sabah?

UMNO Pusat telah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada UMNO Sabah untuk menyusun dan merangka kembali kepemimpinan di peringkat negeri dan bahagian sesuai dengan dasar yang dipersetujui sebelum ini iaitu menyerahkan autonomi kepada UMNO Sabah sekali gus membebaskan UMNO negeri ini daripada campur tangan UMNO Pusat khususnya dalam mentadbir negeri ini.

Difahamkan ada desakan di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO untuk Presiden berundur, adakah itu langkah terbaik untuk parti?

Saya percaya desakan itu adalah langkah terbaik supaya parti boleh bergerak ke depan dengan hala tuju yang lebih tepat sekali gus tidak akan berlaku lagi setback lebih-lebih lagi su pendakwaan membabitkan Presi­den di Mahkamah yang masih dalam perbica­raan sehinggakan beliau tidak dapat fokus kepada urusan parti yang mengakibatkan keadaan kucar-kacir seperti sekarang.

Apakah langkah yang perlu dilakukan Majlis Tertinggi UMNO dalam mengembalikan kepercayaan rakyat di Sabah?

Majlis Tertinggi perlu menilai semula peristiwa yang berlaku selama ini. Mereka perlu melihat pemimpin yang meninggalkan parti ini adalah satu manifestasi ketidakpercayaan kepada parti oleh ahli.

Selain itu, Majlis Tertinggi juga diminta melakukan sesuatu dengan segera tanpa berlengah lagi. Jangan sampai ahli akar umbi meninggalkan parti kerana pimpinan tertinggi terus gagal membaca kemahuan ahli di bawah.