Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu diambil kerana kontrak bagi pembinaannya adalah sah dan tender mengenainya diberi melalui persaingan terbuka.

"Melainkan kami diarah oleh mahkamah agar tidak meneruskannya... jika tidak, ia akan diteruskan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, projek itu bukan melibatkan pembinaan terowong sahaja tetapi juga tiga lebuh raya dan tambah beliau, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenainya telah diperoleh.

Tender bagi pembinaan terowong bawah laut sepanjang 7.2km dan tiga lebuh raya itu diserah kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith), yang mengandungi beberapa syarikat.

Projek itu mencetuskan beberapa kontroversi, termasuk kos kajian kemungkinan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri, yang mendorong beberapa individu membuat laporan kepada SPRM.

Lim berkata, beliau mengarahkan para pegawainya memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam proses penyiasatan suruhanjaya itu sejak 2016.

"Tiada apa yang hendak kami sembunyikan, kami mengarahkan para pegawai supaya memberi apa jua dokumen yang diperlukan dan semua jabatan akan memberi kerjasama penuh," katanya.

Bagaimanapun, Lim berkata, pentadbirannya tidak mengetahui tentang serbuan SPRM semalam di mana dua individu bergelar 'Datuk' direman hingga hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan bahawa dua pengarah bergelar 'Datuk' dikenakan perintah reman masing-masing oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya dan George Town hari ini berhubung siasatan terhadap projek terowong bawah laut itu. - BERNAMA