Tiga agensi terlibat di kaunter berkenaan yang dibuka selama hampir dua jam untuk sebulan sekali bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sebarang pertanyaan ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, projek perintis itu akan dimulakan di beberapa lokasi dalam kawasan Ipoh Barat sebelum diperluaskan ke semua 222 Parlimen di seluruh negara, sekiranya mendapat sambutan.

“Dalam banyak kes, ramai orang tidak ada masa atau tidak tahu untuk mendapatkan bantuan. Jika mengikut sistem lama, kita duduk di dalam pejabat dengan pendingin hawa tetapi sekarang kita ingin pergi kepada rakyat. 

“Lagipun, bukan semua rakyat Malaysia mahir dalam teknologi maklumat (IT) dan kadangkala penyelesaian peribadi secara bersemuka boleh membawa perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kaunter tersebut di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. - UTUSAN ONLINE