Muhammad Farid Saad

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri me­lantik kontraktor pelaksana projek itu tidak sepatutnya dilakukan sebelum kajian perincian seperti Kajian Impak Alam Sekitar dan Kajian Keseluruhan Impak Alam Sekitar (DEIA) dilakukan terlebih dahulu.

Malah tegas beliau, pelantikan itu juga sepatutnya dilakukan selepas laporan berkenaan dibawa ke pendengaran awam dalam memastikan ia adalah berbaloi dan tidak memberikan sebarang masalah kepada kerajaan negeri serta kehidupan rakyat.

“Dalam projek tambak laut di sekitar pesisiran Pantai Persiaran Gurney, kerja penambakan laut seluas 52.4 hektar (131 ekar) telah diberikan kepada syarikat E & O dengan kos dianggarkan sebanyak RM370 juta dan tanah tambak ini difahamkan akan diberi kepada kerajaan negeri.

“Kos RM370 juta itu amat besar dan apakah hartanah bernilai ini nanti akan dijadikan subjek perun­dingan antara kerajaan negeri dengan kontraktor pelaksana lebuh raya dan terowong dasar laut dirancang? Sekiranya tanah itu kemudian diba­ngunkan pasti nilainya akan mence­cah ribuan juta ringgit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini isu tambak laut terbabit telah diusulkan Muhammad Farid dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya projek-projek melibatkan tebus guna tanah dibentang untuk pendengaran awam terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

Beliau juga dalam usul terbabit mahukan semua rancangan penambakan laut baharu di negeri ini ditangguh bagi membolehkan kajian menyeluruh dilakukan dan sebarang projek tebus guna tanah yang mendatangkan kesan negatif dibatalkan.

Muhammad Farid turut mempersoalkan, selain projek membabitkan kawasan Persiaran Gurney, adakah kerajaan negeri juga telah menjalankan kajian DEIA sebelum melantik Konsortium SRS sebagai kontraktor pelaksana projek tebus guna tanah di Pesisir Permatang Damar Laut.

“Dimaklumkan kos ini adalah untuk perlaksanaan projek di bawah Penang Transportation Master Plan yang kosnya mencecah RM27 bilion dan tidak terbayang betapa luasnya laut yang boleh ditambak dengan nilai sebesar itu.

“Selain itu dalam rancangan projek lebuh raya dan terowong dasar laut kontrak pelaksana kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci telah diberikan kepada Konsortium Zenith-BUCG yang turut diberikan mandat sebagai kontraktor pelaksana projek,” ujarnya.

Jelasnya, dalam menyiapkan dua kajian terbabit, kos seba­nyak RM305 juta dianggarkan perlu ditampung namun difahamkan sebahagian kos ini telah dibayar oleh kerajaan negeri kepada kontraktor dilantik.

Beliau berkata, bayaran itu dikatakan dibuat dengan memberi hak milik satu lot tanah di Seri Tanjung Pinang 1 yang bernilai RM135 juta.

“Jadi mengapa kerajaan negeri berani mengambil risiko sebesar ini memandangkan sekiranya hasil kajian memberikan perkembangan negatif, apakah pemilikan tanah ini akan dipulang semula kepada kerajaan negeri.

“Malah mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kos keseluruhan projek ini mencecah hampir RM2 bilion dan bayaran yuran kepada kontraktor yang terlalu tinggi memberikan risiko kerana dibuat tanpa mendapat kelulusan DIEA,” tegasnya.