Perdana Menteri sebalik­nya menegaskan, setiap peng­anugerahan projek hanya akan dilakukan secara tender.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak akan mengulangi pendekatan kerajaan sebelum ini yang didakwa menganugerah­kan projek berkaitan kepada kenalan sendiri.

Kata beliau, sesiapa sahaja yang berkebolehan boleh menyertai tender projek kerajaan dan akan menerima kerja-kerja tersebut setelah semua pertimbangan diambil kira.

“Itu bukan keputusan parti, itu pendapat dia, kita tak pegang kepada (cadangan) itu, kita tak nak buat macam Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) buat dengan bagi (projek kerajaan) kepada kawan-kawan dia,” katanya selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan dalam program Back to School di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di sini hari ini.

Dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu kelmarin, Abdul Rashid mencadangkan agar ke­tua bahagian dan cawa­ngan Bersatu diberikan projek kerajaan supaya memperoleh lebih wang dan peluang bagi mempertahankan kemenangan parti dan PH dalam pilihan raya akan datang.

Sayap parti itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut mengecam cadangan tersebut yang disifatkan sebagai bakal mengundang salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Berkaitan kecaman terbuka beberapa kepemimpinan komponen PH dalam isu itu, Dr. Mahathir berpandangan pihaknya mengamalkan konsep demokrasi dan terbuka untuk sebarang pendapat.

“Kadang-kadang kita tak boleh tutup mulut orang, kita demokratik tapi kalau kita kata, ‘oh itu tak boleh cakap, ini tak boleh cakap’, tak adalah demokrasi. Kadang-kadang dia kecam kadang-kadang dia puji, tak bolehlah suruh puji sepanjang masa,” ujarnya.