Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid berkata, PBT dipercayai menghadapi masalah menyelesaikan kerja pembersihan pasca banjir kerana sehingga hari ini timbunan sampah masih belum dikutip sepenuhnya sekali gus menyebabkan penduduk bimbang dengan aspek kesihatan mereka.

“Selut daripada banjir dan ribut telah merosakkan peralatan rumah mangsa dan mereka telah mengumpulkannya di tepi jalan raya tetapi PBT dilihat tidak mempunyai peralatan dan keanggotaan yang cukup untuk menguruskannya.

“Selain itu, apabila penduduk mencuci peralatan itu, selut mengalir ke parit yang sekali gus boleh menyebabkan pelbagai penyakit, jadi kerajaan negeri perlu memperuntukkan dana kepada PBT untuk kerja-kerja tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan program Pulau Pinang Bangkit termasuk menyalurkan RM500 secara one-off kepada 100,000 isi rumah dan potongan surcaj konservasi air untuk pengguna domestik dan komersial yang keseluruhannya berjumlah RM100 juta. -UTUSAN ONLINE