Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas sebab komitmen tersebut membuatkan parti beliau mengambil keputusan tidak akan bertanding dalam PKR berkenaan demi memberi laluan kepada Pas.

Malah katanya, UMNO sendiri akan menghantar jentera parti bagi membantu Pas memenangi PRK tersebut.

“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya telah pun mengeluarkan arahan untuk jentera UMNO digerakkan bagi membantu Pas di PRK DUN Seri Setia.

“Itu janji kita dan kekalahan UMNO di PRK DUN Sungai Kandis tidak akan mengubah janji tersebut,” katanya yang dipetik daripada portal UMNO Online hari ini.

Kata Ahli Parlimen Bera itu lagi, UMNO mahu memastikan hubungan baik yang sedang dibina antara kedua-dua parti akan berkekalan. - UTUSAN ONLINE