Jurucakap PRK di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah juga yakin dan komited pihaknya akan dapat memastikan kesemua 23 pusat mengundi berada dalam keadaan terkawal sehingga proses pengundian berakhir.

Sehubungan itu, Mohd. Sabri menyeru supaya pengundi di DUN Semenyih untuk keluar mengundi tanpa berasa khuatir dan gusar tentang keselamatan diri.

“Setakat ini, kita boleh simpulkan bahawa tiada kawasan yang disifatkan sebagai kawasan ‘panas’, namun kita sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini. Cuma akan berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa pusat mengundi tetapi polis telah tempatkan anggota polis trafik yang mencukupi.

“Perancangan rapi dan penempatan anggota polis trafik juga telah dibuat untuk memastikan kelancaran aliran lalu lintas. Pihak polis memberi komitmen tinggi dan yakin proses pengundian berjalan dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE