Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan tersebut menjadi kayu pengukur bagi rakyat memilih dan menilai antara dua parti yang mampu memperjuangkan masa depan rakyat serta negara dan bukan hanya sekadar melaungkan slogan berbentuk retorik semata-mata.

Katanya, pada masa ini, rakyat sedang menilai kemampuan Pakatan Harapan (PH) sama ada mampu membela nasib rakyat atau sebaliknya.

“Justeru, Rantau menjadi medan pilihan rakyat dalam memilih pemimpin yang tepat untuk memimpin mereka. Tahniah kepada Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) serta pengundi BN dan Pas yang bergandingan membentuk kemenangan,” katanya di sini hari ini.

Selepas memenangi Parlimen Cameron Highlands dan merampas kerusi DUN Semenyih sebelum ini, BN terus mencipta kejayaan cemerlang apabila mengekalkan DUN Rantau dalam PRK yang berlangsung kelmarin.

Keputusan itu menyaksikan calon BN, Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

Tambah Jamil Khir, PRK Rantau menjadi tumpuan ramai pihak khususnya para penganalisis politik kerana jumlah pengundi yang dilihat seimbang bagi semua kaum sekali gus boleh dijadikan panduan dan ukuran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).

“Apabila Tok Mat diisytihar menang dengan majoriti bergaya dan lebih menarik kemenangan itu adalah melalui sumbangan undi daripada semua kaum iaitu Melayu, Cina dan India,” katanya.- UTUSAN ONLINE