Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon adalah bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan.

Beliau berkata, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dengan betul boleh dikemukakan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang serta penyokong atau mana-mana seorang daripada mereka.

“SPR juga mengingatkan kepada bakal-bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya agar membawa resit pembayaran deposit tersebut pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Calon yang bertanding mewakili parti politik, adalah diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhar Azizan, untuk memastikan proses penamaan calon berjalan dengan aman, harmoni serta tidak ada gangguan, semua pihak diminta mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) memperuntukkan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon seperti penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan.

Dalam pada itu katanya, orang ramai juga adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini tindakan undang-undang boleh dikenakan.-UTUSAN ONLINE