Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, inisiatif yang melibatkan sebanyak 118 orang pengundi awal dan 20,804 orang pengundi biasa itu bertujuan untuk menggalakkan serta memudahkan urusan pengundi dalam PRK di DUN Rantau.

“Kad pengundi berkenaan mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi. Ia bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi awal pada 9 April dan mengundi biasa pada 13 April depan.

“Pengundi yang menerima kad pengundi tidak perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat itu telah dinyatakan dalam kad tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhar Azizan, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan proses semakan.

Selain itu katanya, bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana kemungkinan telah berpindah, mereka boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan juga nombor bilangan.

“Semakan boleh dibuat melalui portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip (SPR <jarak> SEMAK <jarak> nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau hubungi SPR di talian 03-8892 7018,” katanya.-UTUSAN ONLINE