Ini kerana katanya suasana PRK adalah berbeza berbanding pilihan raya umum (PRU).

"Saya ucapkan selamat maju jaya untuk kerjasama UMNO dan PAS... cuma saya syorkan UMNO berhati-hati, dengar boleh, percaya kena tapis dulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Coca-Cola KU (Komuniti Usahawan) di sini, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama UMNO-PAS akan mengulangi kejayaan mereka pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.

Sebelum ini dilaporkan PAS Negeri Sembilan menyatakan parti itu akan terus menyokong UMNO dan bekerjasama dengan parti tersebut bagi menghadapi PRK DUN Rantau.

Mengenai senarai calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Rantau, beliau berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

"Saya sebagai setiausaha agung belum tengok nama-nama itu lagi. Bila sampai masa kita akan teliti," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata setiap bantahan terhadap calon untuk PRK itu perlu dibuat melalui Majlis Pimpinan Negeri sebelum dibawa ke mesyuarat Biro Politik PKR.

Sebelum ini dilaporkan Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr. S. Streram sebagai calon PH pada PRK berkenaan.

Pada 16 Nov lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad tidak sah dan terbatal serta mengarahkan pilihan raya semula diadakan. - BERNAMA