Timbalan Perdana Menteri itu berkata kedudukan Dr S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang teraniaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan turut diambil kira.

"Calon PKR belum lagi diputuskan. Biro politik akan bermesyuarat dan fikirkan," katanya ketika ditanya pemberita apakah Streram akan dicalonkan semula pada PRK Rantau.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.

Pada PRU14, calon Barisan Nasional yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang kerusi DUN Rantau tanpa bertanding selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat pencalonan.

Streram kemudiannya memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad itu.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah. Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di DUN Rantau. - BERNAMA