Mohamed Khaled Nordin
MOHAMED KHALID NORDIN

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan itu juga membuktikan kerjasama UMNO-Pas adalah satu gelombang masyarakat yang membesar secara organik dan jujur.

Selain itu, katanya, masyarakat juga nampaknya mahu terus memberikan isyarat keras kepada kerajaan bahawa biar apa pun alasan digunakan untuk membalut kesilapan dasar dan keputusan yang tidak menyebelahi rakyat.

“Rakyat akhirnya boleh berfikir dengan matang dan menilai secara adil akan kegagalan Pakatan Harapan (PH).

“Kemenangan itu juga adalah satu amanah yang besar kepada BN dan Pas, blok pembangkang harus terus bekerja keras untuk menyantuni dan membantu masyarakat yang saban hari dikecewakan oleh kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau secara peribadi dan keseluruhan pasukan BN serta Pas merakam setinggi-tinggi kesyukuran atas kemenangan Tok Mat di Rantau, sekali pun kemenangan manis itu sudah dijangkakan, ia tidak pernah melalaikan semua pihak.

Tambahnya, kesemua jentera parti, para pendukung BN dan PAS serta rakyat semua kaum setempat telah bekerja keras bagi membantu calon pilihan ramai daripada BN.

“Tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada seluruh pendukung Tok Mat dalam PRK Rantau. - UTUSAN ONLINE