AZHAR AZIZAN HARUN
AZHAR AZIZAN

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pengeluaran kertas undi pos tersebut bermula pada pukul 12 tengah hari tadi dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Bilik Orkid, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

Katanya lagi, daripada 23 kertas undi pos tersebut 11 petugas pilihan raya, lapan anggota tentera dan empat orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

“Seramai empat orang PTH Luar Negara, terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya iaitu di India, Russia dan Singapura.

“Tiada permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Azhar lagi, proses pengeluaran kertas undi pos itu juga dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selain disaksikan oleh pemerhati-pemerhati pilihan raya dilantik yang telah dijemput oleh SPR.

“Kertas undi pos telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit.

“Kertas undi pos anggota tentera pula telah diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk penghantaran kepada pengundi berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos tersebut agar menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 13 April depan.

“Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE.