SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana, kempen pemilihan itu sedang rancak dijalankan manakala pengundian tidak akan dijalankan secara serentak tetapi mengikut tarikh yang ditentukan bermula 22 September ini hingga 28 Oktober ini.

Ketika ini, katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh bagi PRK berkenaan.

“Proses pemilihan parti tidak akan terganggu sebab ahli-ahli di negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan mengundi pada 22 September ini dan minggu berikutnya di beberapa negeri lain.

“Selepas selesai mengundi, mereka boleh datang ke Port Dickson bagi membantu kempen PRK,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan ujian pengundian secara dalam talian (e-voting) untuk ahli PKR negeri ini di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan ahli PKR bahawa PRK Parlimen Port Dickson akan menganggu pemilihan parti itu.

PRK Port Dickson bakal diadakan berikutan tindakan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menjadi Ahli Parlimen.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau berpuas hati dengan keupayaan sistem e-voting yang julung-julung kali digunakan dalam pemilihan parti itu kali ini.

Menurutnya, kira-kira 840,000 ahli PKR dari 218 cabang akan memilih untuk 10,080 jawatan di pelbagai peringkat parti itu membabitkan sebanyak 14,800 calon.- UTUSAN ONLINE