Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Port Dickson merupakan kubu kuat Pakatan Harapan dan sekiranya dicampur undi Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam pilihan raya lalu sekalipun masih belum cukup untuk menang pada PRK ini.

“Saya jangka situasi ini akan berterusan dalam PRK di kawasan itu nanti. Bagaimanapun terpulanglah jika BN masih mahu meletakkan calon.

“Kita tidak boleh halang demokrasi ini meskipun tindakan wakil rakyat di kawasan itu (Port Dickson) meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sedikit unik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyempurnakan majlis pelancaran tabung dana misi kemanusiaan gempa bumi Lombok dan penubuhan gabungan sukarelawan Perlis di Yayasan Pok Dan Kassim (YPK), di sini malam tadi.

Semalam, Anwar diumumkan bertanding di kerusi Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR itu untuk bertanding.

Tindakan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada Anwar memulakan langkah sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi mengantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas ini.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, beliau berharap proses pilihan raya itu berjalan lancar dalam suasana penuh demokrasi di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, meskipun mempunyai masalah kesihatan lebih daripada tiga bulan sebelum ini, namun beliau masih bersemangat meneruskan perjuangan di dalam parti dan sebagai wakil rakyat.

“Alhamdulilah keadaan saya (masalah gangguan saraf) semakin baik dan terus bersemangat meneruskan kerja-kerja kebajikan seperti biasa,” katanya. - UTUSAN ONLINE