Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau secara peribadi berpendapat Pas tidak mempunyai keperluan bertanding dalam PRK tersebut yang sengaja diada-adakan demi memenuhi kehendak individu tertentu.

Walau bagaimanapun katanya, beliau akur jika parti memutuskan mahu bertanding di kawasan itu.

"Kalau tanya saya, mungkin kita tidak akan bertanding kerana ia bukan satu keperluan. Malah, Pas sebenarnya tidak berminat dengan kerusi berkenaan. Cuma setakat ini, kita belum bincang dan putuskan lagi.

“Jika Pas tidak mahu, BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah terus, " katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan manakala hari penamaan calon pula dijadual berlangsung pada 29 September.

Difahamkan, hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang bekas pemimpin MIC mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya kecil itu setakat ini manakala BN pula dijangka membuat keputusan berkaitan perkara itu petang ini. - UTUSAN ONLINE