Semuanya gara-gara bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen tersebut dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan kelak.

Berbeza dengan tiga PRK baru-baru ini iaitu di Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang diadakan ekoran kematian wakil rakyat, PRK Port Dickson nanti adalah berkisar tentang individu bernama ‘Anwar Ibrahim’.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, usaha membawa Anwar ke Parlimen perlu dilakukan bagi mengelak pelan peralihan kuasa untuk menjadikan beliau Perdana Menteri kelapan ‘disailang’ (disabotaj) pihak tertentu.

Jika itu tidak cukup, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail pula menyatakan, tiba masanya mengembalikan hak Anwar bergelar wakil rakyat yang dinafikan selepas melalui dua episod dipenjara secara keseluruhannya selama 11 tahun.

Rata-rata pemimpin PKR lain juga memberikan rasional ma­sing-masing bagi memastikan Anwar diberi laluan pantas ke Dewan Rakyat dengan sasaran­nya sebelum persidangan akan datang yang dijadual pada Oktober.

Walaupun tiada batas waktu ditetapkan untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, sentimen bahawa ia mesti dilakukan tanpa berle­ngah kelihatan hanya dikongsi pemimpin PKR dan ahli-ahlinya.

Para pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan yang dikatakan bersetuju dengan pelan peralihan itu serta sebahagian besar rakyat, mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Bagi mereka, PRU-14 baru berakhir dan kerajaan baharu sedang mencari rentak untuk menyusun semula struktur pentadbiran dan memperkukuh ekonomi negara.

Sebab itulah ada suara-suara orang di Port Dickson sendiri yang kurang senang dan mempertikaikan kewajaran tindakan mengosongkan kerusi Parlimen itu kira-kira empat bulan selepas PRU-14, semata-mata untuk membuka jalan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri.

Ada pengundi berpandangan PRK yang akan diadakan nanti kurang penting buat mereka. Ia hanya untuk memenuhi cita-cita dan impian Anwar yang tertangguh. Ini berbeza dengan PRU-14 lalu, apabila mereka turun dengan semangat untuk menukar kerajaan yang dilabel bermasalah.

Bagi segelintir pengundi atas pagar serta orang muda di Port Dickson, mereka nampaknya tidak lagi begitu teruja dengan cerita reformasi yang kini dijadikan sebab Anwar mesti diberi tempat di Parlimen.

Anak-anak muda ini sebahagian besarnya masih kanak-kanak ketika reformasi dilaungkan di jalan raya sekitar tahun 1998. Mereka tidak akan menelan bulat-bulat alasan yang digunakan untuk mewajarkan kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan.

Memang diakui Anwar nama gah dalam politik negara dan tidak bermasalah mengkagumkan pengundi di Port Dickson. Bagaimanapun bagi sesetengah pengundi, mereka tidak melihat keperluan untuk tergesa-gesa mengangkatnya kembali ke arena politik negara seperti ditegaskan pemimpin yang rapat dengan beliau.

Sebelum ini dua kali PRK diadakan untuk pemimpin PKR berkenaan iaitu di Permatang Pauh dan Kajang. Tidak dinafikan, Anwar akan menyuntik suasana baharu dalam politik negara jika bergelar Ahli Parlimen, cuma tidak diketahui bagaimana impaknya kelak.

Selain itu, mood pengundi ketika ini juga dikatakan sedikit berbeza berbanding semasa mereka memilih pada 9 Mei lalu. Kali ini mereka tidak mempunyai motivasi kuat seperti empat bulan lalu. Peratusan keluar mengundi di tiga PRK baru-baru ini mungkin

berulang di Port Dickson.

Satu-satunya motivasi untuk pengundi Port Dickson adalah Anwar dijanjikan bakal bergelar Perdana Menteri satu hari nanti. Jika semuanya berjalan lancar, mereka akan memiliki Perdana Menteri dari kawasan itu. Selain itu tiada keperluan lain mengadakan PRK walaupun ia dibenarkan mengikut sistem demokrasi. Memang tepatlah ia bakal menjadi PRK Anwar.