Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sayap parti itu sedia menggerakkan jenteranya bagi membantu calon yang bakal ditentulan pucuk pimpinan UMNO dalam tempoh terdekat.

"Kita tunggu dan hormati apa juga keputusan pucuk pimpinan. Kita sedia menggerakkan jentera kerana ini merupakan medan ujian bagi pemuda yang hampir 85 peratus muka baharu.

"Ini merupakan satu peluang terbaik dan hal berkaitan siapa calon yang dipilih, biarlah ditentukan kepimpinan tertinggi parti, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda UMNO selepas Pemilihan UMNO 2018 lalu di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Kandis dan 21 Julai ini diumumkan sebagai hari penamaan calon.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 2 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE