Prof. Datuk Dr. Nasrudin Mohamed
Prof. Datuk Dr. Nasrudin Mohamed 

Rektor UiTM cawangan Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr. Nasrudin Mohamed berkata, pelajar berkenaan telah dijemput oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi surat bertarikh 26 Februari lalu.

Menurutnya, pelajar dan pensyarah tersebut bukan pengundi berdaftar bagi DUN Semenyih.

Katanya, lawatan tersebut merupakan kali kedua selepas yang pertama pada PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018.

“Jemputan SPR itu bertujuan memberi pendedahan untuk melihat proses sebenar pilihan raya selain memberi pembelajaran praktikal secara di lapangan kepada pelajar berkenaan.

“Pelajar yang dijemput telah menjalani latihan program Akademi Pilihan Raya (APR) Associate Trainer (AAT) yang diadakan pada 24 hingga 27 Ogos tahun lalu di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Kg Gajah, Perak.

“Ini adalah kerjasama kelas Voting Education Society dan SPR. Voting Education Society merupakan idea hasil daripada aktiviti SPR di ILD, Perak. Ia juga kolaborasi bersama SPR dan FSPPP bagi kursus Politik dan Kerajaan, program Diploma Pentadbiran Awam (AM110),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, UiTM dan SPR mendapati perlu adanya pendedahan dan pendidikan mengenai pilihan raya terutamanya dalam kalangan pelajar menerusi APR dan perkara itu telah dilakukan.

Kata beliau, di samping latihan praktikal secara di lapangan, pelajar juga terlibat dengan aktiviti ceramah dan outreach berkaitan amalan demokrasi dan pengundian kepada pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, SPR juga telah mengaturkan beberapa program semasa lawatan itu antaranya melihat proses pengundian, tempat pengiraan undi, proses pengiraan undi, penyerahan peti undi, proses penjumlahan undi dan pengumuman keputusan PRK di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.

“Pihak Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban berharap agar kerjasama yang telah dijalinkan bersama SPR akan memberi pendidikan berkaitan proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini serta meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya. - UTUSAN ONLINE