Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata, badan itu percaya Saparin mempunyai kelebihan berbanding beberapa nama lain yang disebut-sebut sebagai calon antaranya, ketua cabang berkenaan, R. Tanggam dan timbalannya, Dr. S. Streram.

Katanya, Saparin adalah anak jati di DUN berkenaan dan dikenali ramai serta antara perintis gerakan reformasi di kawasan tersebut sejak 1998.

“Majoriti pengerusi MPKK serta ketua kominti kaum Cina dan India di dalam DUN ini menolak calon lain yang tidak dikenali.

“Justeru itu, Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH DUN Rantau menyatakan sokongan penuh kepada Saparin sebagai calon PH bagi PRK kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, sokongan itu dibuat memandangkan mood pengundi DUN itu yang mahukan anak tempatan sebagai wakil rakyat mereka.

“Kami mohon kepimpinan tertinggi PH mendengar suara akar umbi dalam membuat pertimbangan mengenai calon.

“Ini penting kerana kita akan berdepan dengan ‘gergasi pembangkang’ iaitu pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan mendapat sokongan seluruh jentera parti itu,” ujarnya.

Ditanya mengenai isu di DUN Rantau, Zuljimmykifli memberitahu, tidak ada isu pembangunan di kawasan tersebut.

“Pengundi hanya mahu anak tempatan (sebagai wakil rakyat),” katanya. - UTUSAN ONLINE