Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdul-
lah (gambar) ber­kata, mesyuarat khas suruhanjaya tersebut yang diadakan hari ini turut menetapkan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon.

“SPR telah mengadakan mesyuarat khas berkaitan kerusi DUN Pujut pada hari ini dan menetapkan bahawa satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang dipastikan oleh SPR iaitu bermula 12 Mei lalu untuk mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 12 Mei lalu, DUN Sarawak telah meluluskan usul melucutkan kelayakan Dr. Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat daripada DAP kerana mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul yang dibuat oleh Menteri Perdagangan An­tarabangsa dan e-Dagang negeri, Datuk Woon Soon Koh itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN manakala 10 yang lain membantah.

Sementara itu, ditanya berhubung kesan keputusan PRK itu sekiranya pihak mahkamah menolak status hi­lang kelayakan tersebut, Mohd. Hashim berkata, SPR akan menghormati keputusan mahkamah.

Namun begitu kata beliau, SPR ketika ini perlu melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengadakan PRK berikutan notis pemberitahuan keko­so­ngan kerusi itu oleh Yang Dipertua DUN Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar telah diterima oleh SPR pada 16 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei tahun lepas, Tiong Choon menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (Pas) dan Fong Pau Teck (Bebas).