Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, setakat ini sebanyak tujuh orang telah dirakam percakapan di Cameron Highlands dan kesemuanya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan selepas pihaknya menerima aduan berhubung kes tersebut.

Pada masa sama, Zainul memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi kerana masih tidak dapat dipastikan sama ada perbuatan itu menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012) atau Akta SPRM 2009.

“Kita rakam percakapan semua berdasarkan pada gambar tersebut. Kita memanggil saksi-saksi berkaitan. Siapa yang ada dalam gambar itu, yang dapat kita ‘pick up’, kita akan ‘pick up’ sebagai saksi. Kita hendak sahkan wujudnya kejadian tersebut kerana mereka berada di tempat itu pada tarikh berkenaan.

“Sekarang ini, semuanya dianggap saksi sebab kita tidak dapat pastikan wujud kesalahan atau tidak. Kita berdasarkan pada keterangan-keterangan saksi. Kalau ada aduan, kita siasat dan aduan tidak semestinya kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini harı ini.

Dalam pada itu, Zainul turut mengesahkan bahawa pihaknya menerima tidak kurang daripada lima aduan daripada orang awam termasuk parti politik sepanjang PRK Cameron Highlands, setakat ini.

“Walau bagaimanapun, saya tidak boleh memperincikan aduan tersebut sebab tidak dapat lagi pada saya, sebab apa-apa kita terus ke ibu pejabat, jadi kita tunggu maklum balas dari ibu pejabat,” katanya. - UTUSAN ONLINE