Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, kesalahan itu antara lain melibatkan aktiviti perjamuan selain pemberian sumbangan (dipercayai untuk tujuan sogokan).

"Jadi, kita akan tengok sama ada perkara itu melibatkan perbuatan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Tidak semestinya memberi makan itu satu kesalahan. Ada kes atau tidak, itu terpulang pada pandangan pihak pendakwa raya.

"Pegawai SPRM yang turun padang melakukan risikan, juga akan memantau sebagai orang awam. Maklumat yang diterima kita akan salurkan ke ibu pejabat bagi ditentukan sama ada untuk diambil tindakan atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi memaklumkan mengenai pengwujudan dua bilik gerakan SPRM sempena PRK Cameron Highlands iaitu di SPRM Perak, Ipoh dan CH Merlin Inn, Tanah Rata yang bakal dibuka selama 24 jam bermula esok.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi SPRM Perak, Rosley Mohamad Satar dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Menurut Zainul, bilik gerakan tersebut akan menerima sebarang maklumat berkaitan dengan kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Pindaan 2012.

Beliau berkata, setiap bilik gerakan yang bakal ditempatkan lima pegawai itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara.

Selain itu katanya, pihaknya turut menempatkan pegawai-pegawai bergerak di sekitar kawasan Cameron Highlands bagi memantau apa sahaja aktiviti di sana termasuk ceramah.

"Sehubungan itu, saya memohon masyarakat sekitar Cameron Highlands serta mereka yang terlibat dalam PRK kali ini supaya dapat menyalurkan sebarang maklumat kepada SPRM sama ada melalui telefon, faks atau email," katanya.

Bilik gerakan di SPRM Perak, Ipoh dan CH Merlin Inn, Cameron Highlands masing-masing dapat dihubungi di talian 05-5267000 sambungan 163 dan 019-6002041. - UTUSAN ONLINE