KUALA LUMPUR 9 Jan. – UMNO menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang berlangsung pada 26 Januari ini penting sebagai penanda aras keberkesanan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam hati rakyat.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, disebabkan itu UMNO dan BN akan memberi tumpuan penuh terhadap PRK tersebut dengan meletakkan calon yang mampu memberi kemenangan kepada parti.

Katanya, calon BN yang akan diumumkan esok adalah individu yang boleh membawa nama parti dan bukan lagi menggunakan pendekatan lama iaitu parti yang membantu kemenangan calon.

“Pucuk pimpinan BN telah bermesyuarat untuk memilih calon yang sesuai memadangkan PRK ini amat penting sebagai penanda aras sejauhmana keberkesanan kita dan BN dalam hati rakyat.

“Dahulu parti yang membawa calon tetapi sekarang ini kita perlukan calon yang boleh membawa parti memandangkan keadaan sudah berubah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

BN dijangka mengumumkan calon PRK Parlimen Cameron Highlands pada pukul 11 pagi esok di sini.

Sementara itu Mohamad berkata, mesyuarat peringkat cawangan UMNO akan bermula dari 15 Februari ini hingga 30 April, manakala peringkat bahagian akan bermula dari 15 Jun hingga 30 Julai.

Beliau juga berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2019 akan ditetapkan pada satu tarikh antara bulan Oktober dan Disember.

Jelasnya, berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini, UMNO pada tahun ini mahu tempoh mengadakan mesyuarat peringkat cawangan dipanjangkan sehingga dua bulan dengan harapan pemimpin peringkat bahagian akan dapat hadir ke mesyuarat cawangan.

“Kehadiran pemimpin bahagian penting untuk menyampaikan hala tuju dan strategi parti kepada akar umbi,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, langkah pemutihan ahli-ahli parti masih diteruskan supaya mereka yang tinggal bersama UMNO benar-benar mahu memperjuangkan parti tersebut. – UTUSAN ONLINE