Memetik laporan portal Malaysiakini, Manogaran turut percaya Rahim Mohd. Noor iaitu bekas pegawai polis berketurunan Orang Asli yang disebut-sebut menjadi calon BN bagi kerusi itu juga tidak akan dapat meraih majoriti undi Orang Asli.

Malah, Manogaran yang juga calon PH di kawasan sama semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu turut memberikan perumpamaan melibatkan kuih, bagi menyokong hujahnya bahawa orang Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada calon Orang Asli.

“Ikut perkiraan BN, mereka fikir... Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli.

“Orang Melayu akan tanya, kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?’ Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau mengulas mengenai spekulasi kemungkinan Rahim bakal diletakkan sebagai calon BN dalam PRK Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari ini.

Masyarakat Orang Asli mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pengundi di Cameron Highlands.

Tambah Manogaran, Orang Asli sendiri tidak akan menyokong sepenuhnya jika Rahim diletakkan sebagai calon bagi menentangnya kerana masyarakat itu masih memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Anda perlukan kerajaan Persekutuan untuk meneliti masalah anda. Jadi saya akan memanfaatkan kelebihan ini untuk kempen.

“Saya tak fikir dia (Ramli) akan dapat undi Orang Asli sepenuhnya. Saya tak rasa begitu, kerana Orang Asli akan undi kerajaan di mana Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) diletakkan. Mereka akan lihat pada Jakoa,” katanya. - UTUSAN ONLINE