Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu terbukti apabila dalam beberapa siri rundingan Pas dengan PPBM sebelum ini, kesemua keputusan parti serpihan itu didapati tertakluk kepada persetujuan Dr. Mahathir.

"Ketika rundingan, memang banyak perkara dibincangkan pimpinan PPBM dan Pas. Muhyiddin sebagai Presiden dan Mukhriz sebagai Timbalan Presiden sendiri hadir dalam rundingan itu.

"Walau bagaimanapun, semua keputusan yang dibuat PPBM masih tertakluk sepenuhnya kepada Pengerusinya, Dr. Mahathir. Itulah hakikat dalaman PPBM yang sebenar," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Takiyuddin dalam pada itu berkata, sikap Dr. Mahathir yang anti-Pas juga menjadi punca utama kepada kegagalan rundingan parti itu dengan PPBM, tahun lalu.

"Serangan Dr. Mahathir terhadap Pas ini bagi kita, adalah biasa, kalau dia puji Pas, baru luar biasa. Beliau juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang agama termasuk terbaharu menyalahkan mufti insiden Memali 1985," katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Takiyuddin berkata, Pas telah membuat persiapan rapi termasuk mengenal pasti calon berpotensi dengan 30 peratus daripada mereka merupakan muka baharu yang akan bertanding di Kelantan.

Beliau turut memberitahu, meskipun bahang PRU-14 semakin hampir, Muktamar Pas Pusat Kali Ke-64 tetap akan diadakan di Pahang pada 4 hingga 6 Mei depan. - UTUSAN ONLINE