Pengarah Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, meskipun sudah membaca laporan akhbar berkenaan isu defisit pendapatan negara yang dibangkitkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah, beliau pada masa ini belum boleh memberikan jawapan.

"Saya akan cuba teliti perkara ini adakah angka-angka yang sebutkan Mohd. Irwan itu betul atau tidak.

"Sebab selalunya angka-angka mereka ni macam-macam. Kita akan tengok dahulu angka-angka baru saya bagi respons," katanya yang merupakan antara penggubal Manifesto Pakatan Harapan 2018 dalam sidang akhbar PPBM, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kehilangan sumber pendapatan negara itu dinyatakan sendiri Mohd. Irwan Serigar dengan mengatakan Malaysia akan kehilangan sebanyak RM45 bilion daripada pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST), RM338 bilion daripada pemansuhan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Meskipun PPBM sepatutnya sedar akan 'kehilangan besar' pendapatan negara melalui manifesto yang dibentangkan, parti itu sebaliknya berdolak-dalik dan seakan-akan menuduh kerajaan bahawa angka-angka tersebut adalah salah. - UTUSAN ONLINE