Malangnya, PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sendiri masih dihambat dengan pelbagai masalah dan pertikaian berhubung status mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu yang mendapat bantahan daripada ahli-ahli.

Perkara itu jelas menerusi peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam Forum bertajuk ‘Krisis Perlembagaan: Wajarkah UMNO dan PPBM Diharamkan?’ yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook, Mykmu.net hari ini.

“ROS perlu kemukakan, betul atau tidak mereka yang membuat aduan itu adalah ahli-ahli PPBM dengan menghubungi ibu pejabat parti.

“Jika parti sengaja menyembunyikan keahlian mereka yang mengadu itu, ROS mempunyai hak untuk mengeluarkan surat atau notis,” katanya.

Forum tersebut turut menjemput bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman dan pakar undang-undang, Zamri Idrus manakala Editor dan penulis kanan AgendaDaily, Helmi Hanafi selaku moderator.

Sementara itu, Kamarul Azman membidas kenyataan Mohamed Haniff dengan menyifatkan peguam tersebut sengaja menimbulkan keraguan dan menyalahkan ROS.

Katanya, pucuk pimpinan PPBM yang menggelar diri mereka sebagai tokoh politik berpengalaman sepatutnya mengambil berat terhadap aduan yang dibangkitkan para ahli, bukan mempertikaikan keahlian mereka.

“PPBM ini asyik hendak mempertikai yang membuat laporan itu ahli atau tidak, bukan nak selesaikan masalah pokok. Jika perkara itu tidak berlaku, mustahil mereka akan membuat laporan. Tetapi pelik, apabila ahli UMNO yang membangkitkannya, tidak pula hendak dipersoalkan sama ada mereka itu ahli atau tidak, terus sahaja percaya aduan tersebut.

“Ya, memang ROS mengambil masa yang lama dalam menyiasat semua aduan terhadap PPBM kerana laporan terlalu banyak dan isu-isu yang timbul pun banyak,” katanya.

Dalam pada itu Zamri berkata, secara jelas UMNO mengikut kesemua perlembagaan parti tersebut berkaitan pemilihan iaitu Fasal 8.2, Fasal 9.3, Fasal 10.16 dan Fasal 30.2.

“Dalam masa sama, persoalan mengenai wajar atau tidak UMNO dibubarkan ia adalah di bawah bidang kuasa ROS, bukan pihak lain termasuk PPBM,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, permohonan lanjutan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti tersebut di bawah Fasal 10.16 iaitu tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya diadakan.

ROS sehingga 6 Februari lepas menerima 47 aduan daripada keseluruhan 249 aduan mengenai pelanggaran perlembagaan PPBM. - UTUSAN ONLINE