ABDUL MALIK

Sumber dalaman PPBM ketika dihubungi mendakwa Abdul Malik yang lebih dikenali sebagai Penghulu Malik sebenarnya bukan dipecat, sebaliknya menarik diri daripada jawatan tersebut atas beberapa sebab.

Namun Penghulu Malik ketika dihubungi Utusan Malaysia menafikan yang beliau pernah menarik diri daripada jawatan tersebut dan menegaskan masih belum tahu status sebenarnya ketika ini.

“Saya masih belum dihubu­ngi oleh mana-mana pemimpin PPBM berhubung hal ini sedang­kan sudah ramai orang yang menghubungi saya bagi menge­tahui kedudukan sebenar.

“Kalau dikatakan pecat, mesti ada surat hitam putih dan takkanlah ditularkan begitu saja. Saya sehingga kini masih belum tahu cerita sebenar tetapi kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, beliau mengakui sudah tidak ke pejabat PPBM mahu pun menyertai program parti kebelakangan ini setelah dikeluarkan secara tiba-tiba daripada kumpulan WhatsApp kepe­mimpinan bahagian itu.

“Baru-baru ini nama saya ditularkan untuk bertan­ding pada pilihan raya umum akan datang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, dekat sini dan berita itu dimasukkan ke dalam sebuah akhbar tempatan tanpa saya tahu hujung pangkalnya.

“Keesokan harinya tanpa di­sangka, saya dikeluarkan dari­pada kumpulan WhatsApp kepe­mimpinan PPBM bahagian tersebut. Sejak itulah saya tidak lagi ke pejabat PPBM atau menyer­tai program mereka dan tiba-tiba hari ini, datang pula berita mengenai pemecatan ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau sehingga kini masih menyokong PPBM, namun enggan mengulas mengenai sebarang kemungkinan pada masa depan.