Apatah lagi, asas pembentukan parti itu juga dikatakan bermula di Kedah selain orang-orang kuat PPBM juga adalah dari Kedah termasuk pengerusi dan timbalan presidennya.

Lantas pengumuman ba­hawa PPBM itu sekadar bertan­ding cuma enam kerusi Parlimen, sementara di peringkat DUN pula dijangka cuma 12 kerusi, ia mengejutkan orang Kedah.

Senario itu tidak ‘padan’ dengan berita-berita yang sering kali diuar-uarkan oleh pembangkang bahawa PPBM kuat di Kedah sehingga mampu menggoyahkan Barisan Nasional (BN).

Barangkali ada bacaan ter­­tentu yang cuba diselin­dungi oleh PPBM termasuk ketidakyakinan parti itu untuk menyandang kerusi-kerusi di kubu kuat BN kerana pasti kalah malu walaupun wakil rakyat BN di kawasan itu seringkali ditohmah pelbagai nista?

Ataupun PPBM gagal untuk menjelmakan calon-calon berkaliber untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak?

Seperti diketahui, kegu­saran PPBM untuk menampilkan calon-calon yang berkaliber jelas apabila parti itu terpaksa ‘merampas’ (walaupun direlakan) wakil rakyat sekutunya, PAN se­perti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit dan Kubang Rotan yang dijangka mengikut jejaknya.

Walaupun hakikatnya, di kerusi-kerusi berkenaan calon tersebut belum tentu lulus cemerlang dalam PRU-14 nanti kerana kemenangan dicapai dalam PRU-13 sebelum ini adalah dengan tiket Pas.

Begitu juga hakikatnya, PPBM Kedah luarannya nampak gah namun dasar­nya bercelaru apatah lagi sejak seorang demi seorang pemimpin akar umbinya membuat keputusan keluar parti itu termasuk lima pemimpin srikandi PPBM di Kedah, baru-baru ini.

Sememangnya benar, bahawa ribuan rakyat yang se­ring hadir dalam siri ceramah pembangkang terutama de­ngan kehadiran Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak langsung boleh dijustifikasikan sebagai parti itu terlalu kuat selagi orga­nisasi di akar umbinya bercelaru dan lemah.

Dalam PRU-13 pada 2013, BN berjaya memenangi 10 kerusi Parlimen daripada 15 kerusi sementara PKR (empat) dan Pas (1). Di peringkat DUN pula yang mempunyai 36 kerusi, BN (21), Pas (9), PKR (4) dan DAP (2).

Namun dengan kejadian lompat parti kedudukan terkini kerusi parlimen adalah, BN (10), Bebas (1), PKR (4) sementara DUN pula, BN (20), Pas (7), PKR (4), DAP (2), PAN (1) dan PPBM (2).

Ketika ini, BN Kedah me­rancang untuk menambah kerusi DUN terutama di bahagian selatan Kedah demi me­ngukuhkan parti itu sementara pembangkang pula terutama PPBM jelasnya masih terkial-kial mencari calon.