SURAYATI IBRAHIM
SURAYATI IBRAHIM

Ketua Pengarah­nya, Surayati Ibrahim berkata, kesalahan yang dilakukan oleh PPBM kerana menggunakan istilah Armada yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti adalah berat dan boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan.

Menurutnya, siasatan awal ROS mendapati Armada tidak terkandung di dalam Perlembagaan PPBM dan sehingga kini ROS belum meluluskan pindaan perlembagaan yang menggunakan istilah Armada untuk jawatankuasa Pemuda parti itu.

“PPBM harus segera menyelesaikan perkara ini kerana PPBM selama ini telah melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966 dengan penggunaan istilah Armada.

“Saya mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin, jika tiada respons daripada mereka (PPBM), tindakan akan diambil. Saya tidak meletakkan tempoh tetapi saya minta mereka berjumpa ahli dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

ROS sebelum ini menerima aduan daripada beberapa exco Pemuda PPBM yang mendakwa beberapa ahlinya telah dipecat dan turut keliru dengan istilah Armada kerana difahamkan ia tiada dalam perlembagaan parti.

Sebelum ini, sebanyak lapan bahagian parti itu mendakwa pucuk pimpinan gagal mengadakan mesyuarat agung peringkat bahagian dan cawangan justeru ahli-ahli tidak mengetahui status kesahihan penjawat jawatan dan kedudukan parti sehingga kini.

Mengulas lanjut, Surayati mempersoalkan, mengapa PPBM mahu menggunakan istilah yang tiada dalam perlembagaan kerana ia telah menimbulkan permasalahan.

“Seharusnya kepemimpinan PPBM mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu istilah Armada dengan ahlinya dari awal dan bukan ROS yang memikirkan cara menyelesaikan masalah.

“ROS telah memulakan siasatan sejak aduan mengenai isu urus tadbir parti yang tidak berlandaskan perlembagaan parti diterima dan sehingga kini siasatan diteruskan bagi meneliti isu ini," katanya.