Perkara itu diumumkan Mohd. Shirin dalam sidang akhbar di si­ni hari ini dengan menyatakan sebab keputusan itu dibuat kera­na mereka tidak berpuas hati de­ngan pelantikan Faizal Azumu se­bagai Pengerusi PPBM Perak menggantikan Datuk Hamidah Osman.

Mohd. Shirin menjadi ketua pe­naja bahagian terbaharu di Pe­rak yang meninggalkan parti itu se­lepas Ketua Penaja Bahagian PPBM Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar mengambil langkah yang sama sebelum ini.

Selepas mengumumkan kelu­ar parti, mereka bertindak menurunkan kain rentang parti di Pe­jabat PPBM di Kampung Tersusun, Jalan Gopeng-Batu Gajah di sini.

Menurut Mohd. Shirin, beliau percaya lebih 1,100 ahli di bahagian itu akan turut mengambil tindakan yang sama.

Katanya, beliau dan ahli PPBM yang lain tidak yakin terhadap kemampuan Faizal untuk menerajui PPBM Perak.

Katanya, selepas Hamidah di­sing­kirkan daripada menerajui PP­BM Perak, semangat ahli sema­kin luntur kerana tiada lagi pemimpin yang berupaya mengatur strategi sehingga pemimpin dan ahli akar umbi semakin terpinggir.

‘‘Pelantikan Faizal sebagai Pe­ngerusi PPBM Perak semata-mata kerana dia orang Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan ini membuka mata kami bahawa PPBM tidak sebaik yang kami harapkan.

‘‘Ketiadaan pengalaman untuk menerajui sebuah parti baharu, selain hubungannya yang sangat terbatas membuatkan PPBM Perak seperti anak ayam kehilangan ibu,’’ katanya.

Menurut Mohd. Shirin, selain isu kepemimpinan peringkat ne­ge­ri, ahli-ahli turut dikejutkan dengan isu status Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebagai sayap parti yang tidak diendahkan oleh pucuk kepemimpinan.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi me­mer­lukan jawapan dan penjelasan berhubung isu itu.

Katanya, isu Armada boleh me­nyebabkan PPBM dikenakan tindakan yang tegas sehingga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) boleh membatalkan pendaftaran parti.

‘‘Ini menimbulkan suasana pa­nik dalam kalangan ahli, namun pucuk pimpinan seolah-olah ti­dak mempedulikan kebimbangan kami yang berjuang di peringkat akar umbi,’’ katanya.