Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mencapai tujuan itu, mesyuarat pertama untuk merencanakan pelan berkenaan akan diadakan pada minggu pertama Januari ini.

Katanya, beliau akan menyertai mesyuarat tersebut bersama para pegawai kerajaan negeri dan syarikat swasta berkaitan.

“Ia adalah pelan pembangunan yang menyeluruh dengan infrastruktur teratur sementara kemudahan sedia ada diperbaiki.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan yang boleh beri beberapa kemudahan tambahan untuk pelan ini berjaya,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Hari Pembersihan Pantai Port Dickson dekat sini hari ini.

Menurutnya, pelan tersebut akan menyaksikan beberapa projek pembangunan akan dibina di sini antaranya dua buah hotel bertaraf lima bintang, pusat perdagangan dan medan selera bersaiz besar.

Jelasnya, pembangunan tersebut memerlukan infrastruktur teratur dengan memastikan tidak berlaku kejadian seperti banjir dan sistem sungai dan saliran yang baik.

Anwar menarik perhatian, kempen kebersihan pantai yang dilancarkan hari ini adalah sebahagian daripada budaya baharu yang hendak diterapkan dalam pelan struktur bandar ini.

“Berdasarkan kepada pemerhatian, sehingga kini penjagaan pantai masih lemah sedangkan kita hendak jadikan pantai Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

“Ia tidak mungkin berlaku seandainya pantai tidak bersih kerana sebagai tarikan utama ia seharusnya bersih,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE