Beliau berkata ini terbukti dengan tindakan pembangkang yang meminta rakyat menerima bantuan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tetapi menolak untuk mengundi BN.

"Inilah permainan pembangkang untuk melemahkan kerajaan, apa cara pun mereka akan memburukkan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Abdullah di sini, hari ini.

Beliau berkata keyakinan penduduk Semporna terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa tinggi yang menyebabkan pembangkang sentiasa cuba memberikan gambaran negatif tentang kerajaan sedangkan sebenarnya kerajaan sepanjang masa konsisten memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat.

"Apapun, rakyat gembira dengan keprihatinan kerajaan menyalurkan bantuan," katanya.


Dalam pada itu, Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang menegaskan senarai nama calon yang akan bertanding atas tiket BN di kerusi Parlimen Semporna dan tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Senallang, Bugaya dan Sulabayan seperti yang ditularkan baru-baru ini adalah tidak betul.

"Kita tunggu senarai keputusan terakhir daripada presiden UMNO," katanya.

Sementara itu, berhubung pendidikan di Semporna, Nasir berkata pihaknya telah menyuarakan keperluan penambahan guru serta pembaikan segera sekolah daif di daerah itu kepada Kementerian Pendidikan.

"Sekolah-sekolah daif di pulau perlu dinaik taraf, kita akan minta kepada kementerian supaya sekolah di Semporna ini termasuk dalam peruntukan pembaikan yang disediakan," katanya. - BERNAMA