Penasihat Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, situasi berkenaan telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara merosot, selain nilai ringgit turut terjejas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menurut beliau, pihaknya juga kecewa kerana PH tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap rakyat ketika kempen PRU-14, malah bertindak membatalkan serta mengkaji semula projek mega yang te­lah diluluskan kerajaan sebelum ini.

“Pelabur tidak berani me­ngambil risiko kerana kerajaan PH tidak berpegang kepada janji. Siapa yang hendak datang melabur dengan pelbagai kepincangan pentadbiran yang sedang berlaku?” kata­nya di sini hari ini.

Terdahulu, Cheng Guan bersama lebih 50 ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak kerajaan menunaikan 10 janji dalam 100 hari.

Mereka membawa sepanduk yang antaranya bertulis Undur Kerajaan PH, PH Fitnah, Gaji Minimum Sudah Sa­ma Rata? dan Bila Hendak Mansuhkan Tol Jambatan Pulau Pinang?.

Kumpulan berkenaan turut mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Presi­den PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenai desakan agar Dr. Mahathir meletak jawatan pula, Cheng Guan berkata, PKR mempu­nyai kerusi yang lebih ba­nyak berbanding Bersatu dan seha­rusnya wakil parti itu yang me­nerajui pentadbiran nega­ra.

Sementara itu Naib Presiden Pergerakan Sivil dan Hak Asasi Malaysia, Datin Hasnah Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak boleh menipu rak­yat dengan memberi pelbagai alasan selepas gagal menunaikan 10 janji dalam 100 hari.

Beliau memberitahu, kera­jaan PH ketika ini hanya me­ngorek kesilapan lama, namun tidak melakukan sebarang penambahbaikan seperti yang diharapkan rakyat.