Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq telah menerima permohonan daripada seorang wakil penganjur dari Kumpulan Media Karangkraf pada pukul 3 petang semalam.

Menurutnya, setelah dikaji sebab-sebab perhimpunan tersebut diadakan selain mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, permohonan itu telah ditolak.

Katanya, permohonan penganjur ditolak ekoran kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Selain itu, tempat perhimpunan yang dipilih di MRSM Sultan Azlan Shah adalah kawasan sekolah dan ia merupakan tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3 APA 2012).

“Penolakan itu juga kerana Jadual Ketiga APA 2012 secara jelas menyatakan perhimpunan atau dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebab lain penolakan itu berikutan pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

Katanya, laporan itu dibuat kerana mereka bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga dan ini merupakan bantahan dari orang-orang yang berkepentingan dalam APA 2012.

“Penolakan itu telah dimaklumkan kepada pihak penganjur semalam dan keputusan secara bertulis berhubung perkara itu akan diserahkan hari ini.

“Pihak polis mengalu-mengalukan semua pihak supaya akur kepada arahan Ketua Polis Daerah ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sekiranya ia diteruskan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE.