HASNAN HASSAN
HASNAN HASSAN

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, perkara itu akan disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun di tempat larangan dan tanpa kebenaran.

Menurutnya, polis tidak mengeluarkan permit kerana penganjuran ceramah tersebut tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

"Polis tidak mengeluarkan permit kerana tempat ceramah tersebut mengganggu lalu lintas, kenderaan termasuk treler yang dijadikan pentas berceramah diletakkan di atas jalan raya.

"Polis juga menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai keadaan tersebut menyebabkan polis terpaksa mengambil tindakan dan tidak mengeluarkan permit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas latihan simulasi polis Perak sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di sini hari ini.

Dalam ceramah yang diadakan di kawasan perumahan di Kamunting semalam, pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa berceramah di atas kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Ini disebabkan treler yang sepatutnya digunakan sebagai pentas ceramah tidak dibenar untuk digunakan kerana ceramah tersebut tidak mempunyai permit polis.

Walaupun tidak mendapat permit, ceramah diteruskan tanpa sebarang kekecohan. - UTUSAN ONLINE