Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi Ahmad Faizal dan kontroversi berkenaan hanya timbul disebabkan ada pihak yang ingin mengambil alih tempatnya.

“Tiada apa...kontroversi sebab orang mahu ganti tempat dia, jadi orang tumbulkan isu ini. Sama macam saya ada juga mahu ganti, ini adalah normal,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak oleh beberapa orang exco kerajaan negeri berkenaan.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa kedudukan Ahmad Faizal masih tidak kukuh ekoran ada usaha berterusan untuk menjatuhkannya.

Ahmad Faizal merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dan wakil tunggal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin meninggalkan UMNO.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke Pulau Batam, Indonesia semalam, Dr. Mahathir memaklum dia tidak tahu mengenai perkara itu.

“Dia pergi ke? Saya tidak tahu,” katanya ketika mengulas tindakan Osman yang mengadakan lawatan ke Pulau Batam ketika rakyat negeri itu berdepan musibah pencemaran toksik yang serius.

Osman ketika mengulas menjawap tohmahan netizen mengenai lawatan itu semalam berkata, lawatan ke Pulau Batam adalah atas urusan kerja yang sudah dijadualkan lebih awal lagi.-UTUSAN ONLINE