Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu, berkata, permohonan mereka itu bagaimana­pun dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

“Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli UMNO.

DR. MAHATHIR MOHAMAD menyempurnakan simbolik Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam di Kua
DR. MAHATHIR MOHAMAD menyempurnakan simbolik Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. – BERNAMA

“Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri sambutan 20 tahun Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang telah keluar parti dalam minggu ini.

Rabu lepas, lima anggota Parlimen, sembilan ADUN dan dua Senator UMNO Sabah telah mengisytiharkan keluar parti itu.

Hari ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam lagi Anggota Parlimen UMNO keluar daripada parti itu, iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Ditanya mengenai keputusan beliau itu yang dilihat kurang disenangi PKR dan DAP, Dr Mahathir berkata terdapat juga pihak yang tidak bersetuju de­ngan langkah tersebut, namun beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang ‘personal’.

Tegasnya anggota Parlimen dan ADUN daripada UMNO yang ingin menyertai Bersatu mesti meme­nuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya ini termasuk keluar daripada parti sekarang dan menjadi wakil rakyat Bebas selain menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Selepas itu, kami akan menilai setiap individu, baru boleh masuk,” katanya.

Beliau berkata mereka yang mahu menyertai Bersatu juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiausaha politiknya Muhammad Zahid Md Arip yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah melibatkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih lagi berk­hidmat memandangkan beliau belum lagi didapati bersalah.
– BERNAMA