Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, pihaknya berharap beberapa perkara dapat diberikan penekanan apabila kerajaan pimpinan Dr, Mahathir mula menetapkan hala tuju dalam sektor pendidikan.

“NUTP yang mewakili 200,000 guru ingin merakam ucapan tahniah kepada Dr. Mahathir di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Ketujuh. NUTP akan sentiasa memberi sokongan agar dapat memimpin dan menyatupadukan rakyat agar negara lebih aman, stabil, makmur dan terus berkembang.

“Antara yang perlu dititikbe­ratkan adalah masa guru bersama murid dengan mengurangkan kerja-kerja perkeranian yang mana kerja-kerja itu mengambil banyak masa guru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, NUTP mahu satu kajian semu­la dasar negara mengenai Pendi­dikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya hala tuju yang jelas dapat ditentukan.

“Kerajaan juga perlu memelihara maruah golongan pendidik seperti yang pernah dikecapi pada suatu ketika dahulu selain mewujudkan suasana dan keadaan disiplin yang baik dalam kalangan murid.

NUTP juga mahu penstrukturan semula Kementerian Pendidikan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mahu Dr. Mahathir meneruskan kelangsungan kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu bumiputera dan raja-raja Me­layu seperti diperuntukan dalam Perlembagaan dan memastikan perkara itu diperkukuhkan bagi membendung kebimbangan ma­syarakat Islam.

“PPMM akan terus kekal memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersifat apolitical dalam membantu kerajaan yang mendapat mandat sah daripada rakyat.

Kami memberi pandangan, teguran dan kritikan tanpa mengira parti yang menjadi kerajaan.

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kami bekerjasama dan membantu Kerajaan Persekutuan dan agensi kerajaan ne­geri. Peranan ini akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyeru rakyat membiarkan proses demokrasi berjalan lancar dan tidak mempunyai persepsi awal terhadap kerajaan yang bakal dibentuk.