Kelulusan pucuk pimpinan itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam ucapannya ketika menyempurnakan majlis Penyerahan Tapak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Taman Ilmu di Kampung Tembila dekat sini hari ini.

“Hari ini saya nak umumkan bahawa kerajaan Pusat luluskan peruntukan RM500 juta, PM (Najib) setuju luluskan bajet itu untuk penduduk Besut,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Exco Kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Jawatankuasà Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang.

Ahmad Razif mengulas lanjut, peruntukan itu merangkumi projek menaik taraf jalan raya di daerah ini termasuk Hulu Besut serta menaik taraf jambatan Jerteh daripada dua lorong kepada empat lorong.

Selain itu jelasnya, ia turut melibatkan projek pembesaran bandar Jerteh yang penuh sesak ketika ini di samping pembesaran jalan menghala ke hospital di Hulu Besut.

“Projek ini (pembesaran jalan di Hulu Besut) dijangka bermula Mei ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE