Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau juga mengetahui pertemuan itu yang diadakan bertujuan untuk berbincang dari hati ke hati antara kedua-duanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, adalah tidak benar pertemuan itu bertujuan bagi merancang untuk menjatuhkan Najib.

“Kita hormati beliau (Dr. Mahathir) sebagai orang tua dan jika sekiranya ada ruang kita duduk dan berbincang apa sebenar yang terbuku,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Hishammuddin diminta mengulas dakwaan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP baru-baru ini bahawa Ahmad Zahid pernah bertemu dengannya kononnya bagi mendapatkan sokongan untuk menjatuhkan Najib.

Dr. Mahathir membuat dakwaan tersebut susulan tindakan Ahmad Zahid mendedahkan kad pengenalan asal bekas Perdana Menteri tersebut yang memaparkan namanya sebagai Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.

Hishammuddin menegaskan, individu yang ingin menjatuhkan Najib adalah Dr. Mahathir dan bukannya Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, dakwaan terhadap Ahmad Zahid tersebut dibuat bertujuan untuk melaga-lagakan mereka bertiga menjelang Pilihan Raya Umum (PRU-14).

“Oleh itu, saya hendak ingatkan pembangkang bahawa strategi (melaga-lagakan) Perdana Menteri, Ahmad Zahid dan saya tidak akan berjaya kerana kami mempunyai persefahaman yang mendalam,” katanya.